11 Feb 2011

Waris keluarga anggota bomba terima Manfaat Takaful Insurans TAIB

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 10 Februari. - Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berperanan murni dalam menjaga keselamatan dan kesejahteraan warga kerjanya.

Justeru semua pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) di bawah Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) telah mendapat Perlindungan Insurans Berkelompok yang dibiayai oleh pihak kerajaan sejak tahun 2009.

PEMANGKU Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Dimuliakan Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof semasa menghadiri Majlis Penyerahan Kemudahan Manfaat Takaful Insurans Tabung Amah Islam Brunei (TAIB) Bagi Kematian dan Khairat Kematian.
(Foto : Ihsan JBP)

Melalui skim tersebut, Majlis Penyerahan Kemudahan Manfaat Takaful Insurans Tabung Amah Islam Brunei (TAIB) Bagi Kematian dan Khairat Kematian kepada waris keluarga bagi seorang anggota JBP iaitu Timbalan Pegawai Balai, Allahyarham Awang Suhamy bin Haji Jaludin yang telah kembali ke rahmatullah pada 19 Januari 2011.

Majlis dimulakan dengan bacaan tahlil oleh Ketua Guru Ugama JBP, Awang Haji Adanan bin Haji Ahmad.

Majlis kemudian diteruskan dengan penyerahan manfaat yang diserahkan oleh Pengurus Kanan Insurans Islam TAIB, Dayangku Noraini binti Pengiran Haji Sablon kepada Setiausaha Tetap KHEDN, Dato Paduka Awang Sa Bali bin Abas yang kemudian diserahkan kepada waris keluarga Allahyarham Awang Suhamy.

SETIAUSAHA Tetap Kementerian Hahl Ehwal Dalam Negeri, Dato Paduka Awang Sa Bali bin Abas menyampaikan Manfaat Takaful Insurans Islam TAIB kepada waris keluarga bagi seorang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat iaitu Timbalan Pegawai Balai, Allahyarham Awang Suhamy bin Haji Jaludin yang telah kembali ke rahmatullah pada 19 Januari 2011.
(Foto : Ihsan JBP)

Turut hadir di majlis tersebut ialah Pemangku Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Dimuliakan Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof.

Dengan adanya perlindungan insurans, ia dapat membantu meringankan beban tanggungan kewangan pegawai dan anggota yang dilindungi atau ahli-ahli waris jika berlaku perkara yang tidak diduga ke atas mereka yang dibiayai.

Ini menunjukkan usaha pihak kerajaan dalam mengamalkan sikap pemedulian dan prihatin terhadap hal ehwal kebajikan dan kesejahteraan para pegawai dan anggota bomba dalam menyumbangkan khidmat profesional yang tulus ikhlas serta pengorbanan murni dalam menjalankan tugas dan memberi perkhidmatan yang cemerlang kepada negara dan masyarakat dalam bidang tugas yang berisiko tinggi.

(Oleh : Dk. Siti Redzaimi Pg. Hj. Ahmad)Pelita Brunei

No comments: